Assalamualaikum wrb.
Aku berjalan bersendirian. Mencari ketenangan yang ku dambakan. Meraih kedamaian hati yang kian menghilang. Di sekelilingku, kesibukkan dunia semakin kelihatan. Sang pejalan kaki meningkat ramai, kenderaan semakin menyesakkan jalan raya. Namun kakiku melangkah rancak, mengikut alunan hati yang mencari. Sehingga akhirnya aku berhenti, terkesima melihat ciptaan Sang Khaliq yang teramat indah.
Sesekali, aku terfikir sejarah hidupku. Bagaimana indahnya membesar dengan kasih juga belai ibu dan ayah. Aku masih terbayang, bagaimana sekiranya aku meninginkan sesuatu, akan dengan mudah sahaja aku boleh mendapatkannya. Dari zaman kecilku menuju ke umur remaja. Memang aku akui, hidup yang aku lalui ku kecapi dengan nikmat kesenangan.
Di sini ku berdiri, berlalunya umur remaja. Aku meningkat dewasa, berada di bumi yang asing, sering merindui kampung halaman. Di sini ku renungi, pengalaman yang ku kumpul, segala rintangan dan cobaan yang datang menimpa. Semuanya dapat ku harungi. Pada ketika itu, aku tidak merenung jauh akan makna disebalik, kerana yang dipikiran hanyalah syukurku atas kebolehan merentasi halangan. Di bumi asing ini juga lah ku sedari betapa bertuahnya aku dilahirkan di dalam lingkungan keluarga yang pengasih, kerana aku mengalami betapa susahnya berdiri sendiri tanpa ayah juga ibu disampingku. Namun tidak ku kesali, kerana semuanya membina aku untuk menjadi seorang yang tabah, seorang yang kuat.

Ku bentangkan pemandanganku ke padang nan luas, yang menghijau indah di mata. Aku lihat langit sebiru laut, awan bermain gembira dibawa arus angin yang mendayu lembut. Sinar matahari yang cukup menerangi alam semesta. Seketika mataku berkaca. Seakan tidak percaya akan bisanya ada ciptaan seindah ini. Tetapi aku tahu akan kebenarannya, lalu ku hadapkan wajahku ke langit, mata terpejam lalu ku bisikkan: Allahhu Akbar! Indahnya ciptaan Mu.
Mindaku berputar. Kembali memikirkan nasib kehidupanku. Mengapakah aku merasakan seolah ada sesuatu yang kosong di dada ku… hatiku merasa tidak menentu…
Aku menghirup udara yang segar, menarik panjang lalu ke lepaskan lega. Tiba-tiba aku teringat akan suatu kisah; kisah yang pernah ku tonton dipaparan tv sewaktu kecilku. Ketika itu aku akui, ianya tidak begitu menimbulkan apa-apa perasan. Mungkin cuma rasa kagum. Tetapi aku terkenang juga, ketika aku mencari-cari erti hidupku. Aku bermuhasabah dengan kisah yang menjadi teman pembesaranku.
Aku terkenang kembali akan kisah Ashabul Kahfi. Tentang pemuda-pemuda yang diberi perlindungan Ilahi, dari cengkaman Raja Dikyanus yang zalim. Ketika cobaan datang menimpa, ketika hadir halangan terhadap agama yang satu, ketika imaan mereka diduga… Allah menghulurkan bantuan kepada mereka! Menidurkan mereka didalam gua, demi menjaga imaan mereka yang dilanda kemungkaran. Kerananya, mereka dijanjikan syurga!
Alangkah beruntungnya mereka, desis hatiku.
Namun aku teringat juga akan satu hadith, dimana Rasulullah menyebut akan bahawasanya umatnya lah yang terlebih dahulu dihisab berbanding dengan umat-umat yang lain. Sewaktu aku mendengar akan hadith itu, terus terang aku tidak memikirkan selanjutnya. Terus terang, aku merasa hiba dikatakan begitu. Aku merasa… tersangat beruntung diperlakukan begitu. Aku juga merasa kasih juga teramat sayang terhadap Rasulullah, kerana beliau terlalu cintakan umatnya. Aku bersyukur, ya! Kerana berada dinaungan umat yang terakhir.
Lalu aku memikir. Alangkah beruntungnya aku. Walhal baru tadi aku memikirkan tentang Ashabul Kahfi. Lalu siapakah yang lebih beruntung?
Di keluasan ciptaan Allah Yang Maha Esa, hatiku terdetik, suaraku sedikit teresak. Aku melihat gambaran secara luasnya. Bukankah kami lebih beruntung, kerana itulah janji Rasulullah? Tetapi ku lihat perjuanganku demi agamaku… Jika ku bandingkan dengan para Ashabul Kahfi yang mulia... Aku malu, Ya Rabb! Sungguh… Ampunkanlah aku!
Selaras aku bersujud, mengucup lantai ciptaan Allah, mengabdikan diri kepada Yang Esa. Aku bersyukur, ya! Walau halangan tiba, aku pasti melaluinya. Aku bersyukur, ya! Kerana aku tahu Sang Pencipta menolongku. Kerana aku tahu, tiada yang mustahil jika mempunyai iman juga taqwa.


