Assalamu’alaikum warahmatullahhi wabarakatuh.
Coretan hari ini saya mulakan dengan kalimah Basmalah, "Bismillahhir Rahmaannir Rahmeen" agar kesempurnaan yang terupaya dapat dikecapi.
Para pembaca sekalian, mungkin anda semua berasa hairan mengapakah saya mengunakan Bahasa Melayu baku bagi coretan ini. Akan tetapi, tidakkah anda sekalian berasa hairan akan mengapakah kita sering menggunakan Bahasa Inggeris padahal ianya bukanlah bahasa rasmi kita. Mengapakah kita berasa kekok sekiranya nukilan hati mahupun coretan seharian kita diceritakan menggunakan bahasa ini? Mungkinkah kerana Bahasa Inggeris itu terlalu mudah bagi kita, atau pun kita sudah terbiasa dengan Bahasa Melayu Brunei kita sehinggakan kita tidak memikir akan adanya keperluan berbahasa begini?
Lantas saya ingin mencuba bagi coretan hari ini walaupun saya akui ianya agak sukar untuk dilaksanakan. Sudah acap kali punat ‘backspace’ ditekan bagi menghapuskan ayat-ayat yang secara tidak langsung tertulis didalam Bahasa Inggeris. Namun usaha ini saya teruskan juga, kerana saya yakin bahawasanya saya akan dapat membuahkan sebuah karya didalam Bahasa Melayu. Tidakkah kita sewajarnya berasa malu sekiranya sebagai anak melayu kita tidak dapat menulis didalam bahasa melayu yang tertib? Iaitu bukanlah bahasa melayu yang songsang mahupun dengan menggunakan bahasa kasar sekalipun.
Tetapi itu bukanlah topik utama bagi coretan hari ini. Ingin saya perdebatkan tentang cinta pada kali ini. Definisi cinta... apakah itu?
Ianya berbeza bagi tiap manusia. Namun yang pasti, ianya dipersetujui bahawa cinta adalah suatu emosi yang membuahkan rasa afeksi ataupun kasih diantara sesama makhluk mahupun kebendaan. Bagi saya pula, cinta adalah suatu perasaan yang tidak mungkin dapat digambarkan secara menyeluruh melalui kata-kata, waima oleh sang pujangga melalui bait-bait puitis yang indah. Mengetahui cinta adalah merasai cinta. Lalu, adakah anda pernah bercinta?
Boleh juga suatu afeksi yang berlebihan boleh disalah ertikan sebagai cinta. Walhal mungkin saja ianya adalah perasaan simpati atau kasih mahupun empati. Manusia itu dilalaikan lalu dibisikkan bahawasanya yang dirasainya itu adalah cinta. Lalu seseorang akan mengaku dirinya sedang dilamun cinta. Alangkah bodohnya manusia, terperangkap dengan hasutan halus itu!
Mungkin perihal cinta sudah tidak begitu dipersoalkan lagi. Mungkin kerana ianya ada dimerata untuk dilihat lantas manusia tidak memikirkannya dengan lebih mendalam. Jika cinta yang disanjung manusia melalui bisikan itu agung, maka mengapakah masih ada perpisahan? Mengapakah masih ada perkelahian antara sesama manusia kerananya? Mengapakah harus ada hati yang terluka, perasaan yang terhuris dan jiwa yang tersiksa sehinggakan seseorang itu boleh melalukan perkara ekstrim yang amat dibenci oleh Allah? Mungkinkah cinta itu adalah sebuah mainan perasaan? Lalu, wajarkah ia merupakan cinta yang sebenar?
Cinta sebenar. Saya bukanlah seorang penulis yang bijak menyusun kata-kata lantas dapat melakar perasan itu. Seperti yang saya katakan, ianya tidak dapat didefinasikan secara menyeluruh walaupun saya pernah merasainya. Ya, saya pernah merasainya... Seketika itu. Anda mungkin bertanya, apakah yang terjadi dengannya sekarang? Ianya masih ada, namun didalam kesamaran yang sedikit menutup. Akan tetapi saya sedang berusaha menyingkap langsir yang menutup itu agar sinarnya tetap bersemarak hingga menusuk hingga ke kalbu yang dalam.
Cinta sebenar adalah cinta yang tiada penghujungnya. Ianya kekal abadi; hakiki. Tidak pernah akan luntur walau maut memisahkan. Ianya akan membuatkan seseorang itu sentiasa berada didalam ketenangan, merasa selamat walau didalam keadaan yang sukar sekalipun. Tiada hati yang terluka, tiada duka yang tercipta. Rintihan perit tiada kedengaran, tangisan lara tidak terluahkan. Ujian yang datang adalah tanda kasih sayang. Kerana keyakinan terhadap cinta hakiki itu sangat utuh sehinggakan keraguan tidak bisa menembusi. Sehingga duka adalah suka, sehingga musibah adalah hadiah. Sehingga tangisan yang wujud hanyalah kerana perasaan syukur yang tidak terhingga kerana berjaya memilikinya, walau hanya sekelumit perasaan yang terdetik. Cinta hakiki itu ialah cinta kepada Sang Khaliq. Cinta yang tiada kondisi, cinta yang bukan berunsur materialistik.
Pepatah Inggris ada mengatakan: “When poverty knocks at the door, love flies out of a window.” Atau didalam Bahasa Melayunya: “Apabila kesusahan atau kemiskinan mengetuk pintu, cinta lari melalui tingkap.”
Cinta mainan. Berkali sudah terdengar atau terbaca cerita tentang kemiskinan yang melanda seseorang itu dapat menlenyapkan perasaan cinta yang ada. Menjadikan suka itu duka, menjadikan cinta itu benci. Lalu ketidakstabilan keadaan memaksa terjadinya perpisahan. Betulkah ia paksa? Ataupun perpisahan itu adalah suatu yang direlakan dalam situasi ini? Lantas apa terjadi dengan cinta itu?
Cinta hakiki. Kemiskinan yang melanda bukan pula dianggap keperitan. Ungkapan ‘Alhamdulillah’ pula sering terucapkan. Seseorang itu akan merasa lebih dekat kepada Sang Khaliq. Mungkinkah kerana seseorang itu tiada tempat lain untuk mengadu? Mungkin… namun yang pasti, dia akan sentiasa berada didalam ayunan asmara yang sebenar. Zikrullahnya itu lebih baik dari ketidakpuasan hati. Cintanya pula semakin mendalam.
Antara cinta mainan dan hakiki. Antara pepatah Inggeris, cinta yang lari dan cinta yang semakin mendalam. Mampukah anda memikirkan yang mana lebih baik untuk mu?
Walau luntasan pendapat yang tidak seberapa ini dikatakan dengan bait-bait yang tidak begitu sempurna, namun saya harap akan dapat membuka minda dan hati para pembaca. Mungkin diri ini merasa kekok dengan Bahasa Melayu lantas karya ini tidak begitu memberangsangkan. Segala kebaikkan datangnya dari Allah, segala kekurangan itu berasal dari diri ini juga.
Thursday, September 2, 2010
Nukilanku tentang cinta...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



0 comments:
Post a Comment